Pendidikan kemahiran dan vokasional merupakan komponen yang tidak kurang pentingnya dalam sistem pendidikan negara, malah peranannya juga dalam meningkatkan kemajuan negara. Kepentingannya menjadi semakin agak mendesak dan mencemaskan apabila didapati penglibatan generasi muda dalam bidang ini agak ketinggalan berbanding negara lain.

Para pemimpin negara kita amat menyedari perkara ini dan seringkali menekankan betapa golongan muda sewajarnya menyahut seruan mereka dengan menunjukkan minat dalam bidang-bidang berkaitan teknikal, memilih kursus-kursus berkaitan teknikal di institut latihan kemahiran dan pusat-pusat pengajian tinggi, seterusnya menceburi bidang keusahawanan dan kerjaya dalam bidang tersebut dan pada hari ini sudah banyak kolej atau institusi yang menawarkan bidang kemahiran dan vokasional sebagai alternatif Pendidikan yang perlu ada bagi setiap orang.

Sebenarnya jika diteliti, pendidikan teknikal dan vokasional turut mempunyai komponen akademik sebagaimana bidang akademik yang lain seperti bidang sains, kesusasteraan dan bahasa serta matematik. Tetapi bidang berkaitan vokasional ini mempunyai lebih komponen yang bersifat teknikal dan fizikal seperti kejuruteraan, penyelenggaraan mesin, pengimpalan dan pertukangan yang kurang memerlukan kemahiran bahasa dan lebih disifatkan sebagai kemahiran non-verbal berbanding bidang akademik yang agak verbal.