Menurut World’s Most Literate Nations (WMLN) 2016 menyatakan, Malaysia berada di kedudukan yang ke-53 dunia kadar celik huruf. Jika dilihat keadaan semasa menjelang 2021 kemungkinan tahap kedudukan negara akan mengalami peningkatan negatif sekiranya tidak diambil tindakan segera. Ini dikukuhkan lagi melalui laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan jumlah keciciran pelajar sedia ada akan meningkat enam kali ganda jika tiada langkah pencegahan diambil sekali gus meningkatkan jurang sistem sosiaI iaitu ekonomi sesebuah negara.

Walaupun begitu pendekatan pembelajaran atas talian pada hari ini tetap telah mengubah landskap pendidikan negara. Bahkan menurut sebahagian pihak terdiri daripada ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) melalui Berita Harian, 16 Mei 2021 menyatakan keyakinan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan lancar dan berkesan. Seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19, kaedah pembelajaran atas talian merupakan suatu keperluan. Kebanyakan universiti tempatan baik awam mahupun swasta termasuk sekolah-sekolah di Malaysia tiada pilihan lain kecuali menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara maya bagi memastikan silibus pengajaran dapat disampaikan dengan sebaik mungkin dan sesi pembelajaran tidak ditangguhkan.